Gaya Hidup Aktif Bermula di Sekolah: Sorotan Jelajah Senam Sihat Bersama Calisthenics Johor

Oleh: Persatuan Street Workout & Calisthenics Johor Bahru

Amalan gaya hidup sihat bukan sekadar satu trend, malah ia merupakan satu keperluan yang perlu dipupuk sejak di bangku sekolah lagi. Menyedari hakikat ini, Persatuan Street Workout & Calisthenics Johor Bahru telah berjaya menganjurkan program Jelajah Senam Sihat Sekolah bermula dari Julai hingga September 2024.
Program yang memfokuskan kepada kecergasan fizikal dan minda remaja ini telah menjelajah ke empat buah sekolah menengah sekitar Johor Bahru, melibatkan seramai 376 orang pelajar dan belia secara keseluruhan.

Empat Sekolah, Satu Misi Kecergasan

Siri jelajah berturut-turut ini telah menggegarkan padang dan dewan sekolah-sekolah berikut:
  • SMK Sultan Ismail (13 Julai 2024)
  • SMK Sultanah Engku Tun Aminah (10 Ogos 2024)
  • SMK (P) Sultan Ibrahim (24 Ogos 2024)
  • SMK Aminuddin Baki (28 September 2024)

Intipati Program: Padat, Disiplin & Penuh Elemen Interaktif!

Seawal jam 8.00 pagi, suasana dewan sudah mula riuh dengan pendaftaran peserta, edaran kit program, dan sesi sarapan pagi. Tepat jam 8.30 pagi, para jurulatih memulakan sesi pengenalan asas senaman Calisthenics sebelum masing-masing memanaskan badan menerusi sesi senaman aerobik yang rancak.
Kemuncak program bermula apabila para pelajar dibahagikan kepada 5 kumpulan kecil untuk beraksi di 5 Stesen Latihan Berfungsi (Functional Stations). Setiap kumpulan diberikan masa 20 hingga 30 minit di setiap stesen untuk menguji dan melatih komponen kecergasan yang berbeza:
  • Stesen Endurance (Daya Tahan) – Menguji ketahanan stamina.
  • Stesen Mobility (Mobiliti) – Melatih kelancaran pergerakan sendi.
  • Stesen Strength (Kekuatan) – Fokus kepada kekuatan otot teras.
  • Stesen Flexibility (Kelenturan) – Memperbaiki regangan dan kelembutan badan.
  • Stesen Agility (Kelincahan) – Melatih kepantasan bertukar arah.

 

 

Menariknya, para pelajar bukan sahaja pulang membawa peluh dan ilmu, malah mereka yang berjaya menyelesaikan tugasan di setiap stesen dihadiahkan Button Badge eksklusif mengikut fungsi stesen tersebut! Sifat daya saing dan konsep gamification sebegini terbukti berjaya membuatkan para remaja lebih bersemangat untuk mencuba sehabis baik.

Bawa Pulang ‘Workout Card’: Misi Sihat Diteruskan di Rumah!

Pihak persatuan mahu impak gaya hidup sihat ini berkekalan, bukan sekadar gimik sehari di sekolah. Oleh itu, setiap peserta dibekalkan dengan sepingat Kad Senaman (Workout Card) khas untuk dibawa pulang.
Kad ini mengandungi panduan Jadual Senaman 3 Bulan (Fasa Pemula, Pertengahan, dan Akhir) yang direka bersesuaian untuk dilakukan di rumah sebanyak 4 kali seminggu (12 kali sebulan). Antara rutin yang terkandung termasuklah variasi burpees, squat, push-ups, mountain climb, dan plank. Dengan adanya kad ini, tiada lagi alasan untuk tidak aktif walaupun berada di rumah!

Sokongan Komuniti, Hub Kesihatan & TMIYC

Program impak tinggi ini dijayakan dengan sokongan padu rakan kolaborasi utama iaitu Jabatan Pendidikan Negeri Johor dan Jabatan Kesihatan Negeri Johor, serta penaja bersama seperti Decathlon Toppen dan Faster Pen Stationery.
Selain rutin senaman, para pelajar turut didedahkan dengan Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS). Pihak persatuan amat menggalakkan pelajar dan ibu bapa untuk:
  1. Mengunjungi Wellness Hub Johor Bahru bagi menjalani In-Body Test (analisis tubuh menyeluruh) serta menggunakan alatan gim secara PERCUMA.
  2. Turut serta dalam sesi senaman komuniti Calisthenics, Tabata, dan Aerobik secara PERCUMA di Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC) Johor Bahru pada setiap hujung minggu (Jumaat, Sabtu & Ahad) bermula jam 5.30 petang.

 

Impak Berterusan Selepas Program

Hubungan yang terbina antara persatuan, guru, dan pelajar terus berkembang subur. Selepas tamat jelajah, ramai pelajar mula berinteraksi di media sosial persatuan malah ada yang sudah mula turun padang menyertai aktiviti calisthenics mingguan di taman awam (TMIYC).

Terima kasih diucapkan kepada semua pihak sekolah, guru, krew, dan rakan penaja. Semoga usaha kecil ini mampu menjadi pencetus kepada transformasi gaya hidup yang lebih sihat, cergas, dan tangkas buat generasi muda Johor!

Sampai jumpa lagi di jelajah sekolah seterusnya!

Layari  https://johorcalisthenicscommunity.pixieset.com/jelajahsenamsihatsekolahanms/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *